Tuesday, March 12, 2013

Jom Laksanakan Tanggungjawab Bersama


Assalamualaikum.
Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah Subhanahu Wa Taala Tuhan semesta alam,yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat kekasih Allah & kita semua dan sekalian alam, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam,para sahabat dan ahli keluarga baginda. Alhamdulillah, Allah masih memberi peluang untuk kita sama-sama menikmati nikmat hidup, Iman dan Islam. ^_^

Beruntungnya bagi mereka yang mendapat hidayah Allah melalui jalan dakwah dan tarbiyah. Jalan dakwah & tarbiyah bukanlah sesuatu yang mudah dan senang. Dalam melaluinya, perlu menempuhi pelbagai onak dan duri. Begitulah juga untuk menuju ke jalan syurga. Syurga Allah terlalu mahal bagi sesiapa yang ingin memasukinya.

Kehidupan kita di dunia yang sementara ini hanyalah sebagai seorang pengembara. Pengembara yang masih bermusafir di dunia untuk mencari bekalan kebaikan dan kebajikan bagi mendapatkan keredhaan Allah yang hakiki. Perjalanan di dunia ini sebagai tempat perhentian sebelum dibawa menempuh alam yang kekal abadi selama-lamanya. Alangkah beruntungnya mereka yang selalu mempersiapkan bekalan di dunia untuk menuju ke alam yang seterusnya iaitu Akhirat.

Sebagai manusia yang telah diciptakan Allah sebagai makhlukNYA yang sempurna, kita diberi tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi dan hamba kepada Allah. Peranan khalifah di muka bumi bukan sahaja sebagai pemimpin malah sebagai da’i(pendakwah) yang sentiasa menjalankan amanah Allah dalam menyuruh kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran. Walau di mana jua kita berada, pastikan kita sentiasa melaksanakan tanggungjawab kita dengan sebaiknya. Hamba kepada Allah pula ialah sentiasa mentaati perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNYA. Dalam hal ini, Allah & RasulNYA menjadi keutamaan kita dalam semua perkara dan amalan yang menyeluruh dalam kehidupan kita. Jadikan segala ibadah yang dilakukan berdasarkan keikhlasan yang sebenar kerana Allah.

Dalam kehidupan ini, kita sebagai hamba Allah tidak terlepas daripada tanggungjawab menyebarkan dakwah kepada semua. Bukan sahaja meliputi orang kafir bahkan juga kepada umat Islam secara umumnya. Nabi Sallahu alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud: “Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat.” Nabi S.A.W mengajak kepada kita semua agar meneruskan tugas penyampaian dakwah yang telah dibuat oleh baginda. Walaupun baginda S.A.W tidak bersama dengan kita pada waktu ini, jangan jadikannya sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Ruginya bagi mereka yang mengetahui sesuatu perkara, tapi tidak berusaha menyampaikannya kepada orang lain.

Ana mengajak kepada diri ana dan sahabat-sahabat untuk sama-sama menyampaikan dakwah walaupun kurangnya ilmu pada diri kita. Tetapi yakinlah sesuatu ilmu yang sedikit tetapi disampaikan dengan seikhlas hati, Allah akan memberi ganjaran yang sangat besar kerana telah menunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan Allah kepada hamba-hambaNYA. Mugkin kita merasakan kita masih belum bersedia, tetapi tanyalah pada diri sendiri jika kita belum berusaha mencuba untuk menyampaikan dakwah dan berpesan-pesan kepada kebenaran,apakah nanti akan ada hasilnya???

Muhasabah diri kembali..adakah kita mahu masuk syurga sorang-sorang?? Macam mana dengan ahli keluarga, rakan-rakan, dan mereka di sekeliling kita? Sanggup ke kita biarkan terus lalai dengan dunia mereka sendiri tanpa mengenal kebenaran Islam yang sebenar? Ayuh koreksi diri. Jangan biarkan diri terlambat dan menyesal untuk menyampaikan ISLAM  yang syumul. Dalam berdakwah, sampaikanlah Islam kepada semua. Tak kira kanak-kanak,orang muda, orang tua, orang yang tidak dikenali  dan sesiapa sahaja.
Allah mengurniakan akal yang sejahtera kepada kita. Marilah kita sentiasa meningkatkan diri kita dengan amalan-amalan kebaikan dan meningkatkan ilmu pengetahuan. Kita bukanlah insan yang sempurna, dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Sama-sama kita mengislahkan(perubahan)  diri ke arah yang lebih baik. Dalam menjalani kehidupan ini, berusahalah untuk menguruskan masa dengan baik. Ingatkan diri kita untutk sentiasa melebihkan hal-hal akhirat berbanding keduniaan. Jangan jadikan matlmat  kehidupan di dunia ini untuk mengumpukan harta dan pangkat semata-mata.

Sama-sama kita berusaha dengan bersungguh-sungguh menegakkan kebenaran dan mencegah segala keburukan. Setiap orang mempunyai kelebihan diri masing-masing. Kenali dirimu apakah kebolehan yang ada dan asahlah kebolehanmu itu untuk kepentingan Islam. Jika kamu suka menulis, makan tulislah perkara-perkara yang mengingatkan kita semua kepada Allah. Mungkin orang lain ada kebolehan dalam berbicara, meng’edit’ video atau gambar, sukakan fotografi, melukis dan sebagainya. Maka, gunakanlah kelebihan yang Allah beri itu pada jalan yang betul. Selain itu, banyak medium yang boleh digunakan untuk menyebarkan dakwah Islam. Antaranya melalui facebook, twitter, blog, sms dan sebagainya. Gunakanlah manfaat teknologi sebagai medium untuk berpesan-pesan dan saling menasihati antara satu sama lain. Segala-galanya bergantung kepada diri kita sendiri. Yang paling penting, mulakanlah sesuatu dengan langkah yang pertama. Teruskanlah berusaha untuk sentiasa menjaga hati dan mengiklaskan niat kerana Allah. Allah akan sentiasa menolong hamba-hambaNYA yang sentiasa menolong agama Allah. Firman Allah dalam Surah Muhammad 47;7

7.  Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.

Ayuh mulakan langkah yang pertama. Jangan berikan alasan sebelum kita berusaha untuk melaksanakannya. Yakin kepada Allah yang sentiasa menjaga kita. Jom sama-sama kita berpimpinan tangan menuju syurga Allah (^ __^) J

No comments:

Post a Comment